Monday 19 January 2015

Pemerintahan Portugis

  • 1511: Alfonso de Albuquerque tiba di Melaka pada 10 Ogos dan membuat permintaan membina sebuah markas Portugis di Melaka tetapi permintaanya ditolak oleh sultan. Selepas 10 hari dengan bantuan pembelot dari kalangan pembesar dan orang dalam istana yang iri hati dan dengki diatas pemashuran Tun Fatimah dan bimbang akan kedudukan jalur keturunannya, pihak Portugis berjaya mengepung dan menawan Kota Melaka pada 24 Ogos dan membina A Famosadalam tempoh enam bulan. Dengan penewasan Sultan Mahmud Shah, pihak Portugis memerintah Melaka selama 130 tahun.

    1513: Patih Unus  Jawa, seorang pahlawan Jawa yang menjadi Sultan Demak di Sumatera menyerang Melaka.

1518-1519: Sultan Mahmud Shah telah mengerah rakyatnya membina tembok tinggi mengelilingi Melaka dalam masa tiga bulan.

1521: Gereja St. Paul dibina oleh Kapten Portugis yang bernama Duarte Coelho dan dinamakan "Our Lady of The Hill", tetapi kemudiannya ditukar oleh pihak Belanda kepada tempat persemadian bangsawan dan dinamakan "Gereja St. Paul".

1523: Sultan Mahmud gagal sekali lagi dalam penawanan Melaka.

1525: Laksamana Hang Nadim telah mengepung Kota A Famosa. Pihak Portugis membuat catuan makanan dari Goa.

1526: Seangkatan kapal yang besar di bawah Pedro Mascarenhaas dihantar oleh negeri Portugal untuk memusnahkan bandar Bentan yang melindungi Sultan Mahmud Shah. Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri melintasi Selat Melaka ke Kampar, Sumatra.

1528: Sultan Mahmud Shah mangkat di Kampar, Sumatera.

1537: Pihak Aceh menyerang pihak Portugis di Melaka pada kali yang pertama.
1545: Buat pertama kalinya, Fr. Francis Xavier tiba di Melaka. Pada keseluruhannya, beliau membuat lima lawatan ke Melaka kerana hendak menjadikan Melaka sebagai pusat operasinya di Timur.

1548: Kolej St. Paul (St. Paul's College), sekolah pertama di Melaka, dibina oleh St. Francis Xavier untuk orang Katolik Portugis dan orang tempatan yang memeluk agamanya.

1551: Gabungan Johor, Japara dan Perak yang mantap telah menawan Melaka dan mengepungnya selama tiga bulan.

1553: St. Francis Xavier meninggal di Pulau Sancian berdekatan Canton, China dan dibawa ke gereja St. Paul selama sembilan bulan persemadiannya sebelum mayatnya dibawa semula ke Goa, India.

1568: Johor membantu Portugis Melaka mematahkan serangan Acheh. Acheh telah mengawal Selat Melaka selama enam puluh tahun.

1582: Pihak Portugis membantu Johor daripada serangan Aceh, dan Sultan Abdul Jalil Riayat Shah menjadi Sultan Johor pertama yang melawat Melaka.

1587: Johor menyerang pihak Portugis secara besar-besaran melalui serangan tanah daratan dan laut tetapi gagal sewaktu angkatan pihak Portugis sampai dari Goa.
1588: Pelawat Inggeris pertama, Ralph Ritch telah tiba di Melaka.

Wednesday 14 January 2015

Mengapa Portugis datang ke Timur


Orang Portugis adalah bangsa Eropah yang pertama datang ke Timur dan tiba ke Melaka dengan tujuan kedatangan mereka berkaitan dengan perdagangan rempah. Permintaan rempah sangat tinggi di Eropah. Rempah selalunya digunakan untuk mengawet makanan dan menambahkan kelazatannya dan mereka datang ke Timur sebab mahu mendapatkan rempah terus dari Kepulauan Melayu. 

Ketika itu perdagangan rempah ini dimonopoli oleh saudagar Islam dan Portugis ingin memecahkan monopoli perdagangan rempah yang dikuasai oleh saudagar Islam sejak sekian lamanya.


Tambahan pula, orang Portugis telah lama memusuhi orang Islam sejak mereka kalah dalam Perang Salib pada kurun ke 12 dan mereka ingin meneruskan peperangan tersebut dan ingin menghancurkan kerajaan Islam di Timur serta menyebarkan ajaran Kristian.


Raja Portugal juga menggalakkan rakyatnya melakukan pengembaraan ke seluruh dunia dan menghantar rombongan untuk mencari jalan laut ke Timur.


Pada tahun 1498, Vasco da Gama telah sampai ke India dan mereka berjaya menakluki Goa dan menjadikannya sebagai pusat operasi di Timur. Ini diikuti dengan kedatangan rombongan Lopez de Sequeira ke Melaka pada tahun 1509.
Melaka masih menjadi pusat perdagangan dan penyebaran Islam yang terkenal ketika angkatan laut Portugis diketuai Lopez de Sequira tiba di situ. Ianya telah diarahkan oleh Raja Manuel untuk mendapatkan pangkalan Portugis di Melaka.


Pada mulanya rombongan Portugis itu disambut baik oleh Sultan Mahmud dan dibenarkan berniaga. Tetapi keadaan ni kemudian berubah apabila saudagar Islam dari India telah menasihatkan Bendahara Tun Mutahir supaya berhati-hati dengan orang Portugis yang di anggap musuh Islam.


Bendahara telah memujuk Sultan Mahmud supaya bertindak ke atas orang Portugis. Baginda akhirnya memerintahkan semua orang Portugis ditangkap dan ditahan termasuk seorang pegawai kanan rombangan tersebut iaitu Ruy de Araujo. 


Bagaimanapun, beberapa orang daripada rombangan itu telah terbunuh dan ada yang dapat melarikan diri ke Goa termasuk ketuanya Lopez de Seqeuira.


Peristiwa tersebut telah memberi sebab dan peluang kepada Portugis untuk menyerang Melaka. Walaupun Melaka aman dan makmur, beberapa pergolakan dalam istana yang telah menyebabkan kelemahan pentadbirannya. 


Apabila berita penahanan rombongan Portugis di Melaka sampai ke Goa & Lisbon, Wizurai (Viceroy-wakil/gabenor untuk Raja) Portugis di Goa, Alfonso d’ Albuquerque telah menyiapkan angkatan perang untuk menyerang Melaka.


Raja Portugal menghantar sepasukan tentera laut di bawah pimpinan Diego Mendez untuk tujuan yang sama dan angkatan tentera ini telah bergabung dengan angkatan tentera Alfonso menjadi angkatan perang yang besar.


Portugis telah  menyerang Melaka pada tahun 1509 dan 1511 dan dalam tempoh ini Melaka tidak mempunyai kubu yang kuat di samping sukar menandingi alat-alat senjata Portugis yang lebih canggih dan moden.


Secara keseluruhan, Portugis telah menduduki Melaka selama 130 tahun iaitu dari 1511 ke 1641. Wizurai (Viceroy) yang bertanggungjawab menyusun sistem pentadbiran Portugis di Melaka adalah Alfonso d’Albuquerque.


Portugis mengamalkan sistem pentadbiran berbentuk ketenteraan. Ketuanya digelar Kapten Kota Melaka yang dilantik oleh Raja Portugal untuk bertugas selama 3 ke 4 tahun. Beliau dipilih dari kalangan golongan Fidalgo iaitu golongan bangsawan Portugal.


Seorang Kapten Angkatan Laut juga dilantik sekaligus sebagai timbalan kepada Kapten Kota. Golongan tentera diketuai oleh Kapten Jeneral dan dibantu oleh golongan Feitor.


Kapten Kota dan timbalannya akan dibantu oleh Majlis Penasihat terdiri daripada 3 badan utama iaitu:- Hal Ehwal Militer, Majlis Pentadbiran Sivil dan Kewangan serta Pentadbiran orang tempatan.

Kesan Pendudukan Portugis Di Melaka



Portugis telah menjajah Melaka dari tahun 1511-1641 selama lebih kurang 130 tahun. Banyak kesan peninggalan Portugis yang dapat dilihat hingga ke hari ini, antaranya lahirnya masyarakat Serani beragama Kristian di Melaka hasil perkahwinan orang Portugis dengan penduduk tempatan.


Wujud beberapa perkataan yang berasal daripada bahasa Portugis yang digunakan dalam Bahasa Melayu seperti almari, tuala, jendela dan garpu.Tarian dan nyanyian masyarakat Portugis di Melaka menjadi warisan kesenian negara. Sebahagian daripada binaan tinggalan Portugis seperti ‘A Farmosa’ dan ‘Gereja St. Paul’.

Friday 2 January 2015

Sejarah Penjajahan Kuasa Asing di Malaysia

Mengimbau Sejarah Penjajahan Kuasa Asing di Malaysia
Penjajahan kuasa asing di Tanah Melayu sebelum kemerdekaan
Seperti yang kita sedia maklum, sebelum Tanah Melayu mendapat kemerdekaan, Tanah Melayu telah dijajah oleh beberapa kuasa asing iaitu Portugis, Belanda, British dan Jepun. Penjajahan kuasa-kuasa luar terhadap Tanah Melayu terjadi disebabkan faktor-faktor seperti kuasa pemerintahan yang lemah, sumber ekonomi yang banyak dan banyak lagi.
Penjajahan di Tanah Melayu oleh kuasa-kuasa asing bermula dengan kedatangan dan serangan oleh Portugis ke Melaka. Portugis telah datang ke Melaka pada 11 September 1509 semasa pemerintahan Sultan Mahmud Shah. Kedatangan dan serangan Portugis ke Melaka berpunca daripada sedikit perselisihan faham, Sultan telah menahan beberapa pedagang Portugis  yang datang berdagang ke Melaka. Alfonso De Alburqaque tiba di Melaka pada Julai 1511 dan menghantar utusan meminta Sultan Melaka membebaskan orang Portugis dan membayar gantirugi. Keengganan baginda telah menyebabkan Melaka diserang dengan 800 orang Portugis dan 600 orang India. Tentera seramai 1400 orang ini telah menambahkan lagi jumlah masyarakat berbilang kaum pada ketika itu. Pada 24 Ogos 1511, Portugis telah berjaya menawan Melaka.
Seterusnya, Tanah Melayu telah dijajah oleh Belanda. Sewaktu Belanda menjajah Tanah Melayu, berlaku rampasan takhta oleh Belanda. Pada tahun 1597, Belanda menyerang Kota Portugis Melaka.Pada tahun 1606, Johor berpakat dengan Belanda untuk menguasai Melaka. Percubaan selama tiga bulan gagal apabila Portugis mendapat bantuan dari Goa. Pada tahun 1636, kapal Belanda telah memusnahkan kapal Portugis dan akhirnya Melaka jatuh ke tangan Belanda pada 14 Januari 1641. Gabenor Portugis, Manuel de Souza Coutinho telah menyerahkan kuasa kepada Kapten Minne Williemson Kaartokoe.
Akibat pergolakan politik dan perebutan takhta di Kedah dan Johor, British telah mengambil kesempatan untuk menakluk Pulau Pinang dan Sigapura. Disini bermulalah penjajahan oleh British. Manakala melalui perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824, secara langsung Melaka telah diserahkan oleh Belanda kepada pihak British. Ketiga-tiga wilayah ini telah disatukan di bawah satu pentadbiran yang dikenali sebagai negeri-negeri Selat. Penjajahan British di Tanah Melayu bertujuan memenuhi keperluan permintaan bahan mentah untuk industri barat, mencari pasaran baru bagi barangan siap dan mencari peluang baru untuk pelaburan dibarat.
Selepas itu, Tanah melayu telah dijajah pula oleh Jepun. Pendudukan Jepun di Tanah Melayu juga turut memberi Kesan serba sedikit terhadap pembentukan masyarakat Malaysia yang sedia wujud pada hari ini. Pentadbiran Jepun Di Tanah Melayu dipanggil sebagai Malai Baru oleh Jepun dan ianya diletakkan di bawah kuasa pentadbiran tentera Jepun yang berpusat di Singapura. Sementara itu di Singapura yang dikenali sebagai Snoyan telah diasingkan daripada pentadbiran di Tanah Melayu. Pada tahun 1945 Jepun telah meletakkan senjata dan berundur dari Tanah Melayu.
Selepas Jepun berundur dari Tanah Melayu pada tahun 1945, British kembali memerintah. Kedatangan semula Inggeris membawa usaha-usaha perpaduan melalui pembentukan Jawatankuasa Perhubungan Kaum.Namun begitu sokongan rakyat terhadap mereka luput sama sekali kerana merasakan mereka lemah dan tidak mampu menentang Jepun selama 5 tahun penaklukan Jepun di Tanah Melayu.Perkara ini membawa kepada tuntutan kemerdekaan oleh penduduk Tanah Melayu berbilang kaum daripada pihak British.
Kesan dari penjajahan British telah memberi impak positif dan negatif kepada pembangunan dan keamanan negara yang dapat dinilai perkembangannya dari masa ke semasa hingga ke hari ini.