Sunday 15 March 2015

PENJAJAHAN BRITISH DI TANAH MELAYU

PENJAJAHAN BRITISH DI TANAH MELAYU


Kronologi British menguasai negeri-negeri selat
Kejatuhan Pulau Pinang ke tangan British pada tahun 1786 hanya melalui tipu daya Kapten Francis Light merupakan titik tolak kepada permulaan kolonialisme British di Tanah Melayu. Dalam membahaskan kesan kolonialisme terhadap struktur sosioekonomi masyarakat tradisional tempatan, penakrifan tentang kolonialisme harus dirungkaikan. Menurut Nadel dan Curtis, kolonialisme bermaksud imperialisme seperti dilihat daripada kaca mata penting penjajahan dan semua kolonialisme dimengertikan sebagai perkembangan imperialisme, tetapi bukan semua perkembangan imperialisme bererti kolonialisme. Secara am nya, kolonialisme bermaksud penindasan, penghinaan atau eksploitasi orang-orang peribumi. Oleh yang demikian, kolonialisme ialah bentuk penjajahan politik satu kuasa ke atas kuasa yang lainnya.
Perbincangan seterusnya tertumpu kepada persoalan siapakah masyarakat tradisional tempatan? Golongan ini merupakan penduduk awal yang mendiami Tanah Melayu iaitu orang Melayu dan mengamalkan sistem politik bersifat feudal dan mengamalkan ekonomi sara diri. Masyarakat tradisional tempatan mempunyai kehidupan sosioekonomi yang tersendiri sebelum kedatangan kolonialisme British. Justeru, perbahasan ini akan membincangkan kedatangan kolonialisme British telah memberi kesan kepada struktur sosioekonomi masyarakat tradisional tempatan. Kesan kolonialisme sebenarnya telah mengubah politik, ekonomi dan sosial masyarakat tradisional tempatan iaitu penguasaan oleh pihak British.
Kuasa Pemerintahan Raja dan Pembesar adalah Terhad.
Struktur politik masyarakat tradisional sebelum kedatangan British adalah berbentuk feudalisme. Sistem ini telah memberikan kuasa mutlak kepada raja atau sultan.
Masyarakat feudal sangat memerlukan perlindungan dan perhubungan peribadi yang saling bergantungan antara yang kuat dengan yang lemah, dan dalam masyarakat ini setiap orang terikat dengan sistem itu. Namun, kesan daripada kolonialisme British telah menyebabkan kuasa raja menjadi terbatas kepada penasihat agama dan adat istiadat orang Melayu. Hal ini dapat dibuktikan melalui Perjanjian Pangkor 1874 menyebabkan kehilangan kuasa oleh Raja Muda Abdullah dari Perak. Keadaan ini sekaligus memperlihatkan kehilangan kuasa raja dan pembesar serta perubahan struktur sosioekonomi masyarakat tradisional tempatan.
Kesan yang jelas dapat dilihat dalam aspek penguasaan ekonomi oleh raja. Ketika dahulu raja adalah pemilik tanah dan penguasa ekonomi kerana memiliki tanah dan boleh mengurniakan tanah kepada sesiapa yang dikehendakinya terutamanya pembesar. Keadaan ini telah memberi faedah kepada sultan atau raja hasil daripada pungutan cukai. Hal ini dapat dibuktikan apabila Sultan Abdullah di Perak menyewakan hak memungut cukai di Muara Sungai Perak sebanyak $24,000 setahun dan Menteri Larut ketika zaman kemuncak 
pemerintahannya pada tahun 1870-1872 mendapat $180,000 setahun daripada lombong-lombong di Larut. Kehadiran kolonialisme British telah menghakis kuasa pembesar dan sultan dalam pemilikan tanah dan penguasaan ekonomi masyarakat setempat. Hal ini rentetan daripada pengenalan dasar ekonomi yang berbentuk bebas atau lebih dikenali sebagai dasar laissez-faire. Keadaan ini telah menyebabkan kemasukan pelabur-pelabur asing untuk melabur dalam sektor ekonomi yang berkembang seperti perlombongan dan perladangan bagi tujuan eksport. Perkembangan ini telah mendorong pemodal mendesak British supaya campur tangan di negeri-negeri Melayu seperti Perak, Selangor dan Sungai Ujong sekitar tahun 1875. Fenomena ini menjadi tunjang kepada kehilangan kuasa pembesar dan raja dan jika terdapat kuasa, mereka hanya berkuasa memungut cukai untuk British dan mereka diberikan gaji atau elaun. Penjelasan ini jelas mengungkapkan kolonialisme British telah mengehadkan kekuasaan sultan dan pembesar dan mengubah struktur politik masyarakat tradisional tempatan kerana tampuk pemerintahan dikuasai oleh British.

No comments:

Post a Comment